Tuesday, March 22, 2011

Pengalaman Manis Di Mesir.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Sudah hampir 2 tahun saya telah meninggalkan bumi yang penuh barakah. Bumi yang penuh dengan ilmu-ilmu agama yang sukar didapati di negeri sendiri. Di bumi ini juga, terdapat banyak kisah-kisah yang memberi kita sebagai orang islam pengajaran dan keinsafan yang pernah dilalui oleh para Nabi dan Rasul, para wali-wali Allah dan para 'Ulama kita yang dicintai. Tidak lupa juga di bumi ini, terdapat kisah seseorang yang berani mengaku dirinya sebagai tuhan iaitu Fir'aun di mana Allah sengaja meninggalkan kesan-kesan untuk dipertontonkan kepada kita supaya tidak mengikuti jejak seperti Fir'aun. Alhamdulillah. Semasa berada di sana, banyak pengalaman yang manis dan pahit yang tidak luput dan hilang di dalam ingatan saya sehingga hari ini.

Pengalaman yang manis bagi saya, ketika saya berada di dalam universiti Al-Azhar. Pelbagai orang saya jumpa di sini. Sungguh berbeza sekali apabila melihat universiti ini kerana sistem yang digunakan di sana hampir semuanya 'not computerised'. Jadi, kami di sana harus berkejar sana sini untuk mendapatkan beberapa 'khidmat' supaya pendaftaran kami berjalan lancar. Di sini juga, saya dapat berjumpa dengan pelbagai latar belakang guru-guru yang bergelar profesor dan Syeikh di mana mereka banyak mencurahkan ilmu-ilmu kepada kita untuk dipratikkan. Mereka juga banyak memberi nasihat-nasihat berkenaan dengan adab-adab seorang penuntut ilmu di mana mereka mengatakan, "jika kamu berilmu banyak mana pun tetapi tidak mempunyai adab-adab yang digariskan, maka ilmu kamu tidak ada erti langsung". Kata-kata itulah saya bawa pulang ke tanah air supaya ilmu-ilmu yang diperolehi diberkati.



Selanjutnya, pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ketika saya menghadiri pengajian-pengajian Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki yang dibuat di bangunan rumah-rumah Malaysia Kaherah seperti Rumah Terengganu di Hayyu 'Asyir dan Rumah Kedah di Hayyu Sabie'. Di sana, saya banyak mendapat ilmu-ilmu selain di kuliah seperti Fiqih, Hadith, buku-buku nasihat dan sebagainya. Saya tidak sempat bergambar dengannya kerana pengajian beliau terlalu ramai orang yang hadir. Ini antara perkara yang harus bagi seorang penuntut ilmu untuk memilikinya.

Sebagai seorang penuntut ilmu terutama ilmu agama, majlis ilmu ialah aktiviti sampingan bagi mereka supaya ia dapat meluaskan lagi curahan ilmu yang telah dipelajari semasa di kuliah. Hal ini kerana ilmu-ilmu yang kita pelajari di kuliah tidak semuanya dibincangkan kerana kesuntukan masa dan sebagainya. Sebaliknya, majlis ilmu merupakan tempat yang sesuai untuk kita mengkaji, meneliti, bertanya, berkongsi dan berbincang berkenaan ilmu yang sedang dipelajari kerana ia mempunyai masa yang banyak. Walaupun begitu, tidak bermakna bahawa ilmu-ilmu yang dipelajari di kuliah tidak berkesan cuma dari sudut masa, tidak terlalu banyak seperti dalam majlis ilmu. Kalau kita ingin sebut mengenai majlis ilmu ini, di Masjid Al-Azhar sendiri yang bersebelahan dengan Universiti itu mempunyai banyak majlis ilmu yang diadakan seperti Syeikh Yusry, Syeikh Muhyiddin Al-Shafi dan lain-lain lagi.



Kalau kita lihat dari gambar ini, bagi yang memahami bahasa arab, memang sudah tahu apa yang dimaksudkan kata-kata dalam gambar ini. Bagi yang tidak memahami bahasa arab, ini merupakan hari yang paling bahagia untuk penuntut di sana sama ada orang arab ataupun bukan arab. Hal ini kerana hari tersebut yang bertarikh 28 Jan-28 Feb merupakan hari Jualan buku-buku (Book Fair). Hari itu, semua penuntut yang berada di sana berpusu-pusu datang ke Kaherah untuk membeli buku-buku sebanyak mungkin kerana jualan tersebut sangat murah sekali. Hampir 70% diskaun. Sebelum kami membeli buku-buku, kami akan tinjau beberapa tempat untuk melihat buku-buku yang ada di sana supaya tidak membazir.



Gambar di tempat ini antara tempat-tempat yang kami singgah untuk meninjau buku-buku baharu yang telah dihasilkan di dalam Bookstore ini. Memang pening apabila melihat buku-buku di sekeliling. Mata menjadi juling. Semua koleksi buku-buku ini ingin kami dapatkan kerana ia tidak ada di negara kita. kalau ada pun, mahal sedikit berbanding di sini. Di dalam Book Fair ini, bukan sahaja buku-buku agama dijual tetapi buku-buku pelbagai bidang dan bahasa ada. Sebut sahaja bidang dan bahasa apa boleh kita dapati di sini. Pada hari yang kedua, kami akan membeli buku-buku sebanyak mungkin. Kalau diikutkan, memang banyak duit digunakan pada masa ini tetapi setahun sekali kita harus mengambil peluang keemasan ini untuk memiliki buku-buku yang menjadi rujukan pada masa akan datang.

Itulah antara pengalaman-pengalaman manis yang saya tidak dapat dilupakan. Ia sentiasa melekat di dalam minda saya dan saya pasti kebanyakkan sahabat-sahabat yang pernah menyambung di sana akan merasai sepertimana saya sendiri sebagai mantan penuntut di sana. Mudah-mudahan jika ada peluang dan rezeki, saya akan menjejaki pada kali yang kedua di bumi Mesir itu.

Sekian.Wassalam.

~Taufik~


Alhamdulillah..Blogging Kembali!!

Assalamualaikum kepada pembaca yang dihormati sekalian..

Sekian lama sudah tidak 'bersemuka' di blog ini. Hampir 3 tahun saya meninggalkan alam blogging ini. Saya minta maaf atas peninggalan saya ini kerana ada sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. InsyaAllah saya akan mula kembali pada kesempatan ini untuk meneruskan penceritaan saya di sini. Mudah-mudahan dengan berkat Allah s.w.t., saya mendapat idea-idea untuk meluahkan dan memberikan maklumat-maklumat yang penting untuk dikongsi bersama pada masa akan datang.

Dengan itu, nantikan 'posting' saya akan datang. Sekian. Terima kasih.