Monday, July 2, 2007
Ilmu, iman kunci keperibadian
ILMU sahaja belum cukup untuk membantu dan menolong seseorang untuk melaksanakan sesuatu. Contohnya, seorang doktor yang mengetahui bahawa merokok sangat membahayakan kesihatan, namun dia sendiri seorang perokok. Begitu juga orang yang mengetahui mengenai ilmu agama bahawa minuman keras (arak yang memabukkan), hukumnya haram, namun hakikatnya mereka bukan saja meminum malah kadang-kadang berbangga dengan minuman haram itu.Kadang-kadang pembuat hukum yang mengetahui mengenai segala aspek hukum, namun seringkali melanggar hukum. Terkadang saksi kebenaran berbuat dusta. Penjaga keamanan kadang-kadang bertukar menjadi pengganggu keamanan.
Apakah mereka tidak mengetahui mengenai hukum? Atau kerana mereka tahu mengenai hukumlah, mereka menjadi bertambah mudah melakukan itu semua? Mereka berfikir setelah melakukan itu semua mereka boleh bertaubat. Alangkah rendah dan kerdilnya mental remaja dan umat Islam semacam ini berusaha mencari kesempatan di celah kemudahan yang diperolehi.
Kalau binatang walaupun mereka tak punya akal, kadang-kadang tahu membezakan yang boleh dengan tak boleh. Cuba lihat kucing, dia makan dengan tenang apa yang anda lemparkan padanya dari tangan anda sambil duduk di sisi kaki anda mengiau dan menjilat-jilat.
Dalam situasi lain, kalau kucing mahu mencuri ikan, kita dapati sikapnya berlainan. Sebelum mengambil makanan itu dia menoleh ke kiri dan ke kanan, baru mengambil sepotong ikan, kemudian terus membawa lari ke tempat yang jauh daripada orang. Bila dengar suara orang cepat-cepat dia lari, kadangkala meninggalkan ikan itu. Semua ini adalah tingkah laku dan gelagat kucing yang tahu mana makanan halal dan mana yang haram. Padahal dia adalah seekor binatang saja, dia tak belajar fekah, tafsir dan akidah. Kenapakah manusia yang belajar dan berilmu tetapi terus melanggar apa yang dia tahu.
Jelaslah di sini bahawa tahu dan mengerti dan mempunyai ilmu bukanlah kunci keperibadian tetapi iman, motivasi, kemahuan dan tekad yang kuat untuk melaksanakan ilmu pengetahuan tadi akan membentuk keperibadian. Semestinya ilmu yang ada dalam diri mesti disatukan dengan iman menyatu dalam sanubari, sehingga menghasilkan perasaan benci terhadap sesuatu yang dilarang kemudian berusaha menolaknya.
Inilah namanya celik mata hati, hati yang diisi dengan hikmah dalam membantu mendengar suara hati. Buta mata tak nampak keindahan manakala buta hati tak nampak kebenaran. Kalau dah tak nampak kebenaran, orang bimbing pun tak nak ikut, teguran dianggap sebagai sindiran, nasihat dianggap racun yang tak mampu didengari.
Dalam Islam ada tiga kategori yang membezakan perangai dan tingkah laku, iaitu:
1. Muslim. Golongan ini yang hanya sekadar berikrar dengan lidah mengucap dua kalimah syahadah sahaja, tiada pembuktian atas ucapan itu. Sekadar bernama Muslim. Yang inilah yang kita sebut pada awal bicara ada ilmu tapi tak boleh ikut dan beramal dengan ilmu. Sekadar tahu.
2. Mukmin. Golongan ini mereka yang meyakini apa yang dipercayai dan melaksanakan apa yang diyakini, namun mereka buat tiada istiqomah dan tidak berpanjangan amalannya. Pendek kata masih tidak menjadi budaya, malah mudah tewas sekiranya tergoda dengan ujian.
3. Muhsin. Golongan inilah yang akan mengubah perilaku dan mereka yang dapat memanfaatkan ilmu, mengajak orang lain berubah, malah mereka menjadi penyelamat. Alangkah beruntungnya sekiranya remaja berusaha meningkatkan kualiti dan standard agamanya bukan sekadar menjadi "muslim" dan "mukmin," malah menjadi remaja yang "muhsin," iaitu ejen perubahan dan penyelamat ummah.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home