Tuesday, September 18, 2007

Tiga Bentuk Ganjaran Kesempurnaan Puasa

HADIS Rasulullah SAW. menyebut bahawa ada tiga bentuk ganjaran diberikan Allah kepada hamba-Nya sepanjang Ramadan, iaitu rahmah (rahmat), maghfirah (keampunan) dan `itq min al-nar (bebas daripada api neraka).

Rahmah ada dalam 10 hari pertama Ramadan, maghfirah di dalam 10 hari keduanya dan `itq min al-nar di dalam 10 hari terakhirnya.

Begitu mudah kita membilangnya, tetapi tidak semudah itu untuk kita mendapatkannya. Ia terikat dengan beberapa prasyarat yang ketat, tanpanya kita hanya akan mengalami lapar dan dahaga ketika berpuasa.

1. Memahami erti puasa rukun dan syaratnya

Kesempurnaan puasa seseorang adalah terikat dengan sejauh mana dia memahami erti puasa itu sendiri, rukun dan syaratnya serta apa-apa perkara yang membatalkannya, mengetahui masanya serta kaifiatnya.

2. Melaksanakan adab atau etika berpuasa seperti:

  • Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin, beramal kebajikan kepada sesama anggota masyarakat sepanjang Ramadan kerana pahalanya besar.
  • Banyakkan membaca al-Quran secara berseorangan dan berkelompok atau bertadarus.
  • Menunaikan solat Tarawih, Witir dan amalan qiamullail yang lain.
  • Membasahkan lidah dengan zikir dan wirid sepanjang waktu sama ada siang atau malam Ramadan.
  • Memohon keampunan atas semua kesalahan sama ada berkaitan dengan hak manusia dan hak Allah sebanyak mungkin.
  • Berusaha meningkatkan kefahaman ilmu agama dan mutu penghayatan ibadat.Memelihara diri termasuk hati dan nafsu daripada melakukan apa-apa perkara larangan Allah dan Rasulnya, di antaranya seperti:
  1. Memelihara hati dari perasaan hasad dengki, riak, takbur serta tamak dan haluba.–
  2. Memelihara nafsu/syahwat daripada melakukan perkara sumbang yang mungkin membawa kepada perzinaan, akibatnya akan merosakkan puasa.
  3. Memelihara telinga dari tabiat suka mendengar rahsia orang dan perkara buruk.
  4. Memelihara lidah daripada bercakap bohong, menutur cacian dan kata nista, perkara keji, umpat-mengumpat, fitnah-memfitnah serta mengadu domba dan sebagainya.
  5. Memelihara tangan daripada mengambil harta benda secara batil, umpama mencuri, merompak, membunuh atau menyentuh atau melakukan sesuatu yang dilarang.
  6. Memelihara kaki daripada melangkah ke tempat maksiat, umpama ke sarang pelacuran, perjudian dan lain-lain yang mungkin membawa kepada melakukannya.
  7. Memelihara kedudukan diri daripada memakan rasuah, menyalah guna kuasa, menindas, memilih kasih, menyeleweng dari kebenaran dan juga apa-apa bentuk kezaliman terhadap orang lain.
  8. Mengawal mata daripada mengintip atau melihat perkara haram dan pelbagai larangan lain.
  9. Berusaha memperolehi rezeki yang halal dengan berkerja di dalam pelbagai sektor pekerjaan yang sah dan dibenarkan syarak.

Dengan kesempurnaan perkara itu, kita mengharapkan akan mendapat tawaran Allah, iaitu rahmah, maghfirah dan itq min al-nar. InsyaAllah amin..

Saturday, September 8, 2007

Kisah Nafsu Yang Degil Pada Perintah Allah

Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Al-khaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah, menerangkan bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai akal, mengadaplah engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T.,kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah engkau!", lalu akal pun berbalik. Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : "Wahai akal! Siapakah aku?". Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah."

Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau." Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud :"Siapakah engkau dan siapakah Aku?".Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau." Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau."

Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku." Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa. Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat. Oleh itu, hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah.

bab kata lagu:


bukan mudah mengawal nafsu
ujian mendatang syaitan memburu
bermujahadah melawan nafsu
agar diterima amalanmu

Sekadar sini sahaja nak dikongsi bersama...SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN!!! PUASA JGN TAK PUASA!!