Friday, October 12, 2007

Berhari Raya Perlu Ikut Adab

Sejarah hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu.

Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka.

Lalu Rasulullah menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam menggantikan dua hari raya yang kamu raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri.

Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat.

Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.

Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya. Kerana itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.

Kalimat 'fitri' sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia kembali kepada fitrah yang asal. Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.

Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: "Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat."

Pada pagi hari raya dimulakan dengan membersihkan diri, bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhuwah dengan kunjung mengunjung di kalangan saudara mara dan sahabat handai.

Perlu diingat Islam tidak pernah mengajar umatnya agar untuk berlebih-lebihan atau melampaui batas dalam menyambut apa saja perayaan. Ini bermakna Islam menegah umatnya melakukan pembaziran dalam menyambut hari raya seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya dengan pakaian mahal dan kuih muih terlalu banyak.

Pada zaman Rasulullah, datang seorang sahabat kepada baginda dengan berpakaian serba baru, kata sahabat ini: "Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat dapat menyambut Aidilfitri." Lalu baginda segera bertanya: "Kenapa wahai saudaraku?" Lelaki itu berkata: "Kerana saya tidak ada baju baru."

Rasulullah kemudian bertanya kepada beberapa sahabat lain, agar sesiapa yang mempunyai baju baru dapat diberikan kepada lelaki tadi. Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa saja untuk bergaya dengan baju baru. Tetapi pengajaran daripada kisah tadi ialah dalam menyambut hari raya tidak semua bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru. Lalu, digalakkan sesiapa yang ingin membuat kebajikan dengan bersedekah apa saja kepada orang yang tidak berupaya.

Konsep hari raya selalunya dikaitkan dengan pembaziran. Membelanjakan wang ringgit untuk membeli secara berlebihan atau membeli sesuatu yang boleh membawa kemudaratan seperti mercun dan bunga api amat salah di sisi agama. Mungkin pembaziran ini berlaku kerana masyarakat kita hidup dalam kemewahan.

Sepatutnya rezeki yang lebih itu disumbangkan kepada saudara seagama lain yang mungkin tidak dapat merayakan hari raya seperti kita.

Satu lagi budaya yang lazim berlaku dalam sambutan hari raya ialah pemberian duit raya. Islam tidak melarang pemberian ini, asalkan tidak melampaui konsep pemberiannya itu. Usahlah kita mendidik anak-anak supaya berkunjung ke rumah jiran semata-mata dengan harapan anak akan diberi duit raya ini. Jika sebaliknya, maka pelbagai anggapan dan prasangka buruk diberikan kepada sesiapa yang tidak melazimkan pemberian itu. Misalnya, dikatakan kedekut, tangkai jering dan bakhil.

Menyentuh soal wang ini, satu kewajipan yang perlu ditunaikan oleh semua umat Islam menjelang Aidilfitri ialah zakat fitrah. Wang zakat ini adalah sumbangan yang akan diberikan kepada golongan yang tidak berupaya, miskin, fakir dan sebagainya mengikut lapan asnaf yang ditetapkan syariat.

Jika Aidilfitri disambut dengan kegembiraan yang melampau tanpa melihat beberapa pengisian yang disebutkan tadi, pasti tujuan asalnya jauh menyimpang. Kedatangan Syawal sepatutnya menginsafkan Muslimin di sebalik makna kemenangan dan kejayaan dalam sambutan Aidilfitri, kita tidak sepatutnya melupakan tuntutan agama. Wallahu 'alam..

Selamat Menyambut Aidilfitri...

Begitu pantas masa berlalu..

Baru rasanya menyambut kedatangan Ramadhan tetapi masa berlalu begitu pantas sehingga Syawal yang datang bagaikan mimpi. Betapa pilu dan sedih ketika mahu mengucapkan semoga bertemu kembali wahai Ramadhan. Sebagaimana perasaan seorang tuan rumah merasa serba salah bila tetamu istimewa mahu berangkat pulang. Datang dalam diri tentang betapa kurangnya layanan dan sambutan yang diberi. Kini sama-samalah kita bermuhasabah menghitung diri samada Ramadhan yang baru lalu mampu menukar corak kehidupan kita ke arah yang lebih baik serta merapatkan lagi hubungan kita dengan Allah atau sekadar melepas batuk ditangga semata-mata melepaskan kewajipan sahaja tanpa beroleh hasilnya. Sekiranya gandum yang masuk kilang bertukar keadaannya samada menjadi kek, biskut dan sebagainya untuk dipasarkan maka bagaimana kedudukan kita selepas melalui proses dalam kilang tarbiah Ramadhan. Adakah di sana perubahan ke arah yang lebih positif atau kekal ditakuk lama atau pun berundur ke belakang menjadi negatif. Pernahkah kita bertanya kepada diri kita setiap kali berlalunya Ramadhan samada berjaya berubah atau pun kita tidak pernah menghiraukan semua itu kerana beranggapan bahawa kita telah pun tunai kewajipan berpuasa sebulan Ramadhan.

Kepiluan dan kesedihan kerana berpisah dengan Ramadhan sedikit sebanyak terubat apabila berjaya menyahut seruan nabi agar kita mengerjakan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Ketibaan Syawal lebih bermakna bila diraikan dengan pelbagai amalan ibadat dengan menjauhi maksiat, membanyakkan takbir serta mengelak diri daripada membazir. Syawal lebih bererti bila setiap amalan yang dibuat berlandaskan suluhan wahyu dengan menghindari daripada ditipu oleh hawa nafsu. Syawal lebih indah bila diri ini mampu menjadi hamba Allah yang tunduk patuh kepadaNya serta menjauhi daripada bersifat seperti kawan syaitan yang sentiasa menggoda umat manusia. Tanyalah tentang kegembiraan sebenar pada diri kita ketika menyambut kedatangan hari raya. Adakah gembira kerana tak payah lagi berpuasa dan tak perlu lagi ke masjid untuk berterawih. Adakah gembira kerana boleh bersama ibubapa dan saudara mara. Adakah gembira kerana boleh memakai baju raya dan makan kuih raya. Jika itu sahaja makna hari raya kita maka tanyalah pada diri samada kita ini hanya mahu menyambut hari raya setakat di dunia sahaja atau pun kita juga memang mahu untuk turut berhari raya apabila bertemu dengan Allah di akhirat kelak. Kita dapat lihat bagaimana pelbagai ragam manusia tentang makanan dan kesihatan. Ramai yang mahu sentiasa sihat serta dijauhi sebarang penyakit tetapi tidak mahu berpantang bila makan. Jarang sekali manusia yang memang sentiasa menjaga kesihatan dengan mengawal cara pemakanan harian agar seimbang dan tidak melampau. Begitulah keadaan manusia dengan dosa pahala, syurga neraka di mana ramai yang hanya mahu pahala dan syurga tetapi malas beramal dan ramai sekali manusia yang benci dosa serta gerun pada neraka sedangkan perbuatan mereka selari dengan hawa nafsu dan godaan syaitan serta jauh daripada suluhan wahyu dan Tuhan.

Setiap agama ada perayaan mereka yang tersendiri mengikut adat dan kepercayaan masing-masing. Oleh itu bezakanlah sambutan hari raya kita daripada agama lain. Umat Islam sebagai umat pilihan sewajibnya mengikut segala garis panduan yang telah ditunjuk oleh agama dalam menyambut hari raya. Jangan samakan hari raya kita dengan agama lain. Ingatlah bahawa setiap gerak geri kita sentiasa diawasi oleh malaikat yang setia yang sentiasa menulis dosa pahala yang kita lakukan termasuk ketika menyambut kemeriahan hari raya. Alangkah bahagia dan mulianya umat Islam yang menghidupkan hari raya dengan amal ibadat yang tertulis pahala padanya. Betapa ruginya umat Islam yang mencemari kemuliaan hari raya dengan maksiat sehingga ditulis sebagai dosa yang bakal ditanya di hadapan Allah di akhirat kelak. Pilihlah mana yang lebih baik samada mengekang nafsu semasa menyambut hari raya sehingga kita mampu memperolehi balasan Syurga di akhirat atau mengotori kesuciaan hari raya dengan mengikut hasutan hawa nafsu sehingga bakal berdepan dengan azab neraka di hari pembalasan nanti.....tepuklah dada dan tanyalah iman kita tentang pada tahap manakah sambutan hari raya kita..ikut wahyu atau tunduk pada nafsu...jadi hamba Tuhan yang bersyukur atau jadi kawan syaitan yang kufur.....

Monday, October 8, 2007

Lailatul Qadar

Lailatul Qadar merupakan satu malam yang mempunyai kelebihan lebih seribu bulan yang lain. Ini dapat kita lihat daripada apa yang telah dinukilkan oleh Allah di dalam al-Quran dalam surah al-Qadar. Begitu juga dengan apa yang telah diberitahukan oleh Rasulullah S.A.W dalam beberapa hadis yang sohih. Kita disuruh untuk menghidupkan malam lailatul qadar dan tidak membiarkannya berlalu begitu saja. Rasulullah S.A.W telah bersabda dalam hadis muttafaq 'alaih daripada Abu Hurairah yang artinya : "Sesiapa yang menghidupkan malam lailatul qadar penuh keimanan dan keikhlasan akan diampun baginya dosa yang telah lalu."

Menurut imam Fakhrurrazi bahwa Allah menyembunyikan malam lailatul qadar dari pengetahuan kita sebagaimana Dia menyembunyikan segala sesuatu yang lain. Dia menyembunyikan keredhaanNya pada setiap ketaatan sehingga timbul dalam diri kita keinginan untuk melakukan semua ketaatan atau ibadat itu. Begitu juga Dia menyembunyikan kemurkaanNya pada setiap perkara maksiat agar kita berhati-hati dan menjauhi segala maksiat dan tidak memilih antara dosa besar dan kecil untuk melakukannya kerana dosa kecil jika terus dilakukan secara berterusan akan menjadi dosa besar jika kita tidak bertaubat dan berusaha meninggalkannya. Dia menyembunyikan wali-waliNya agar manusia tidak terlalu bergantung kepada mereka dalam berdoa sebaliknya berusaha sendiri dengan penuh keikhlasan dalam berdoa untuk mendapatkan sesuatu daripadaNya kerana Allah menerima segala doa orang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa. Dia menyembunyikan masa mustajab doa pada hari Jumaat supaya kita berusaha sepanjang harinya. Begitulah juga Allah menyembunyikan penerimaan taubat dan amalan yang telah dilakukan supaya kita sentiasa istiqamah dan ikhlas dalam beramal dan sentiasa bersegera dalam bertaubat. Demikianlah juga dengan penyembunyian malam lailatul qadar agar kita membesarkan dan menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dalam mendekatkan diri kepadaNya bukan hanya sekadar menunggu malam lailatu qadar sahaja untuk beribadat dan berdoa. Tetapi inilah penyakit besar yang menimpa umat Islam yang menyebabkan malam-malam Ramadhan lesu kerana mereka hanya menanti malam yang dianggap malam lailatul qadar sahaja untuk beribadat. Kerana mengejar kelebihan lailatul qadar yang mana kita tidak mengetahui masanya yang tertentu menyebabkan kita terlepas dengan kelebihan Ramadhan itu sendiri yang hanya datang setahun sekali.

Persoalan: Bagaimana boleh kita tahu malam itu merupakan lailatul qadar? apakah tanda-tandanya?

Antara tanda-tanda dalam mengetahui malam lailatul qadar adalah berdasarkan beberapa hadis di bawah :

1. Abi Ibnu Ka'ab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda mengenai lailatul qadar yang artinya : "Sesungguhnya matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya (suram)." - Hadis riwayat imam Muslim dalam kitab puasa -

2. Telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa baginda telah bersabda yang artinya : "Sesungguhnya tanda-tanda lailatul qadar, bahawa malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar bersamanya pada hari itu." - Hadis riwayat imam Ahmad dengan isnad jayyid daripada Ibadah bin As-Somit -

3. Dalam Mu'jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Asqa' daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya : "Malam lailatul qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya(suram)."

4. Telah meriwayat Al-Barraz dalam musnadnya daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya : "Malam lailatul Qadar bersih tidak panas dan tidak pula sejuk."

Pada malam Lailatul Qadar, Allah Ta'ala menyuruh malaikat Jibrail Alaihisalam turun ke bumi, lalu turunlah Jibrail ke dalam perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau lalu dipacakkan ke atas Kaabah, baginya 600 sayapnya , setengahnya tiada dibuka keduanya, melainkan pada malam Lailatul Qadar barulah dibukakan keduanya, hingga sampai dari timur ke barat ( Musyriq Ke Maghrib ).

Untuk menyelamatkan umat Muhammad, Lalu memberi salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatul Qadar beribadah kerana mencari keredaan Allah, dan orang-orang yang duduk beribadah, orang yang sembahyang dan berzikir, berjabat tangan sesama mereka mukmin serta mengucap amin doa orang-orang mukmin hingga terbit fajar subuh....... berkata para malaikat kepada Jibrail , apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin dari umat Muhammad (s.a.w) pada bulan Ramadan ini? Jibrail mengatakan bahawasanya Allah menilik kepada umat Nabi Muhammad yang berpuasa dan beribadah padanya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya: yaitu orang yang kekal minum arak, orang yang derhakakan ibubapanya, orang yang memutuskan sillaturrahim dan orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari.

Ada satu riwayat hadis lain menyatakan suatu ketika Rasulullah menceritakan dari Jibril kepada para sahabat mengenai seorang yang sangat soleh menghabiskan masa berjihad selama hampir 1000 bulan iaitu pemuda bani Israel bernama Syarm'un al-Ghazi. Hanya bersenjatakan kulit unta Syarm'un dengan mudah menewaskan musuh. Bila haus ketika berjuang Allah terbitkan air yang segar di celah-celah giginya dan ketika lapar Allah tumbuhkan tumbuhan sekelilingnya.

Puak kafir sangat memusuhinya dan akhirnya memperalatkan isterinya dengan tawaran rasuah yang tinggi. Ketika Syarm'un sedang tidur, isterinya mengikat dengan seutas rantai besi namun sebanyak dua kali gagal. Pahlawan Islam ini mempunyai kekuatan luarbiasa hingga dapat memutuskan rantai tersebut dengan mudah malah cubaan ketiga juga gagal.

Akhirnya Syarm'un dedahkan rahsia kekuatannya kepada isterinya yang disangka tiada apa-apa. "Tiada sesiapa dapat memudaratkan diriku kecuali dengan izin Allah dan tiada siapa dapat mengalahkan aku kecuali dengan sehelai rambutku!" Dedahan ini memerangkap dirinya. Beliau tidak dapat melepaskan diri apabila diikat dengan sehelai rambutnya. Kesempatan ini diambil oleh musuhnya menyeksanya sebelum dibunuh. Pelbagai seksaan dilakukan pada pemuda ini, matanya dikorek, telinganya dipotong dan tubuhnya diikat pada sebatang tiang rumah ditikam-tikam dengan senjata tajam.

Allah mengilhamkan Syarm'un supaya memohon perlindungan dariNya. Lalu pemuda itu memohon agar dapat menggoyangkan tiang supaya dapat merobohkan rumah dan menimpa musuh yang hendak membunuhnya. Doa Syarm'un dimakbulkan apabila dia dapat kekuatan yang luar biasa hingga dapat menggoyangkan tiang yang teguh itu dan membunuh musuh-musuhnya termasuk isterinya ditimpa runtuhan.

Dengan kuasa Allah s.w.t. tubuh Syarm'un yang cedera juga turut pulih serta merta. Syarm'um kemudiannya berpuasa selama hampir 1,000 bulan lagi bagi membalas pertolongan Allah yang menyelamatkan nyawanya. Perjuangan Syarm'un dan kekuatan imannya sungguh luar biasa begitu mengharukan Rasulullah dan para sahabat berdukacita kerana tidak dapat mencapai ganjaran seperti itu. Mereka bertanya akan ganjaran yang diberikan Allah kepada pemuda itu. Baginda menjawab tidak tahu, lalu Allah menurunkan Surah al-Qadar.

Anugerah malam Lailatul-Qadar dengan menghidupkan malamnya mempunyai ganjaran melebihi 1,000 bulan, tidak perlu melakukan jihad sehebat Syarm'un.